SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis perkahwinan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani pada Sabtu.

Anwar yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari sempat meluangkan masa sekitar satu jam untuk beramah mesra dengan pengantin, keluarga dan tetamu yang hadir.

Ketibaan beliau sebelum itu disambut bapa pengantin lelaki yang juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan isteri, Puan Sri Noraini Mohd sambil diiringi Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Majlis resepsi Mohammed Taufiq, 28 tahun bersama pasangan, Dr Fathiya Ainul Mardhiyah Andri Nopendra, 26, berlangsung meriah dengan tetamu turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan Perdana Menteri dan anggota Kabinet lain yang hadir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis perkahwinan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari. - Foto Astro AWANI

Antara anggota Kabinet yang hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Pemimpin lain yang hadir adalah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan beberapa pemimpin politik yang lain.

Mohammed Taufiq yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya dari Indonesia, Dr Fathiya pada 24 Februari yang lalu.

Beliau merupakan graduan perubatan daripada Universiti Islam Bandung dan berpengalaman sebagai doktor pelatih di Hospital Al-Ihsan Bandung serta Hospital Dr Slamet Garut, Indonesia.